|
Tuan Haji Mohd Khair bin Haji Mohd Taib |
|
Monday, 03 September 2007 |
|
Tuan Haji Mohd Khair Taib ( 1922 -1989)
Beliau dilahirkan di Kampung Bakar
Bata Alor Setar, Kedah pada malam Jumaat, 14 Muharram 1340H, bersamaan 22 September 1922. Beliau mendapat
pendidikan awal di Sekolah Melayu Jitra, Sekolah Arab Limbung Kapal, Alor
Setar, Ma'ahad Mahmud dan sekolah Agama Al-Masyhoor di Pulau Pinang.
Mendapat pendidikan awal ilmu falak menerusi bimbingan Tuan Syeikh Wan Sulaiman
yang dikenali sebagai Syeikh al-Islam negeri Kedah. Beliau menuntut ilmu ini
ketika di Madrasah Al-Islamiah, Limbong Kapal. Alor Setar, Kedah pada tahun
1936. Beliau ketika itu mempelajari perhitungan falak secara tradisi dengan
menggunakan alat Rubu' Mujayyab. Seterusnya pada tahun 1941 sebelum perang
dunia kedua beliau berguru dengan Tuan Syeikh Mohd. Tahir Jalaluddin Al-Falaki
di Kuala Kangsar, Perak. Beliau telah menyambut usaha Syeikh Mohd. Tahir
Jalaluddin untuk mengembangkan ilmu falak di Tanah Melayu walaupun mendapat
tentangan. Mohd. Khair ada mencatatkan tentangan terhadap gurunya dalam
mengembangkan ilmu falak " Usaha Syeikh Mohd. Tahir Jalaluddin telah
mendapat tentangan hebat dari kalangan ulama-ulama Islam di Malaysia.
Kalangan-kalangan tersebut juga menyebabkan kedudukan martabat Allahyarham itu
menjadi merosot dan boleh dikatakan tersingkir dari golongan ulama Malaysia
yang muktabar. Bagai manapun, Allah berada dipihak yang benar. Jasa Allahyarham
di dalam memperkembangkan ilmu falak dikalangan umat Islam telah mendapat
sanjungan dan sebutan selepas dekat yang ke 60an.
Beliau telah mendapat bimbingan
dan didikan dalam ilmu falak dari gurunya, Syeikh Tahir Jalaluddin yang gigih
dan dedikasi dalam menyampaikan ilmunya sejak sebelum perang dunia kedua
sehingga zaman pendudukan Jepun dan zaman BMA. Beliau telah merakamkan
kegigihan usaha gurunya; "Allahyarham , saya dapati tidak jemu-jemu
menunjukajar saya ilmu falak syarie ini." Kegigihan gurunya telah
diteruskan oleh Allahyarham Mohd. Taib dalam mengembangkan ilmu ini supaya
tidak lenyap ditelan zaman. " Sebaik Allahyarham (Syeikh Mohd Tahir
Jalaluddin) mangkat di Kuala Kangsar, Perak, saya telah berusaha sedaya upaya
mengembangkan ilmu ini. Saya telah menulis lebih seratus rencana mengenai falak
di dalam akhbar Utusan Zaman dalam tahun 60an. Dengan adanya rencana-rencana
ini, saya yakin barulah beberapa pihak mula memendang tinggi kemanfaatan ilmu
falak."
|
|
Last Updated ( Saturday, 08 September 2007 )
|