|
Fenomena
Astronomi Februari 2010
Sebelum
kita membicarakan fenomena langit bagi bulan Februari, saya ingin menarik
perhatian pembaca berhubung dengan satu peristiwa bersejarah
mengenai penerokaan angkasa lepas yang berlaku di dalam bulan Februari.
Empat puluh empat tahun yang lalu pada tanggal 3 Februari 1966, pihak Kesatuan
Soviet (USSR) telah berjaya mendaratkan proba Luna 9 di permukaan Bulan buat pertama kalinya dalam
sejarah. Luna 9 adalah proba tanpa
manusia dengan beratnya 99 kg telah mendarat di Oceanus Procellarum yang
merupakan maria yang terbesar di Bulan.
Maria ini boleh dilihat dengan mata kasar di malam hari dari Bumi. Luna 9 telah
berjaya mengambil gambar permukaan Bulan secara dekat dan mengirimkannya ke
Bumi. Peristiwa tersebut telah merancakkan usaha untuk manusia mendarat di
permukaan Bulan dan akhirnya pihak NASA telah berjaya mendaratkan manusia yang
pertama di permukaan Bulan pada tahun 1969.
Bulan
ini banyak fenomena astronomi yang
menarik berlaku di langit untuk kita saksikan. Langit malam bulan ini
dihiasi dengan bintang-bintang
yang terang, buruj-buruj, bulan dan planet. Buruj Orion atau Pemburu mendominasi
langit malam bulan ini. Ia berada di tengah langit pada jam 10.00 malam di awal
bulan. Tiga bintang sebaris terdiri dari Mintaka, AlNilam (tengah) dan Alnitak mudah
dikenali. Berhampiran di sebelah selatan dengan buruj ini ialah buruj Canis
Major atau anjing besar yang terkenal dengan bintang yang paling terang di
langit, Sirius. Buruj Taurus juga terletak bersebelahan dengan buruj Orion,
buruj ini mudah dikenali dengan bintang yang berwarna merah, Aldebaran. Saiz bintang
ini yang sangat besar, 44 kali diameter
Matahari.
Selain itu buruj Gemini pula terletak berhampiran di
sebelah utara buruj Orion. Buruj ini mengandungi dua bintang cerah iaitu Castor
dan Pollux yang digambarkan sebagai dua kepala adik beradik kembar. Berhampiran
dengannya pula ialah buruj Canis Minor dengan bintang Procyon bintang yang
paling terang di dalamnya. Manakala di bahagian timur langit dihiasi oleh buruj
Leo dengan bintang Regulus bintangnya yang paling terang.
Di langit selatan pula dihiasi oleh buruj Carina dengan
bintang Canopus sebagai bintangnya yang cerah. Turut menghiasi langit selatan
ialah buruj Eridanus yang mempunyai bintang Achernar, bintang yang ke-9 paling
terang di langit.
Pada
awal bulan ini, Bulan menghiasi langit dengan
fasa suku akhir. Bulan terbit di ufuk timur selepas kira-kira dua jam Matahari terbenam di ufuk barat. Permukaan
bulan yang kelihatan kurang 50% dari
keseluruhan permukaan Bulan. Sekitar jam 11 malam, 2 Februari, Bulan dan planet
Zuhal muncul di ufuk timur, kedua-duanya
kelihatan berdekatan dengan sudut pisahan 7 darjah. Kedua-dua objek ini
berada di tengah langit pada jam 4.30 pagi 3 Februari. Pada kedudukan ini lebih mudah untuk mencerap
Zuhal dengan mata kasar atau binokular.
Pada
sekitar 2.35 pagi, 8 Februari, kita akan
dapat menyaksikan Bulan terbit bersama-sama dengan bintang Antares di ufuk timur. Bintang Antares
berwarna merah, bintang yang paling cerah dalam buruj Scorpio. Antares adalah
bintang yang bersaiz sangat besar, jejarinya 800 kali jejari Matahari. Jika
dibandingkan saiz diantara keduanya Matahari kelihatan seperti satu titik. Pada pagi tersebut Bulan dan Antares kelihatan berdekatan, mereka berada pada pisahan
sudut 1.5 darjah. Ini satu pandangan
yang menarik yang boleh dilihat dengan mata kasar di awal pagi. Sebelum waktu
subuh kedua-duanya berada pada altitud
35 darjah dari ufuk.
Pada
12 Februari, Bulan berada dalam fasa
sabit tua, dalam taqwim Islam ini adalah hujung bulan Safar tahun 1431 Hijri.
Selepas waktu subuh jika ufuk timur
tidak berawan atau berkabus kita akan dapat menyaksikan Bulan sabit dan planet Utarid berada berdekatan. Utarid adalah planet yang paling dekat dengan
Matahari yang hanya boleh dilihat dengan mata kasar diawal pagi atau senja.
Pada pagi tersebut kedua-duanya berada pada jarak pisahan 2.3 darjah.
Pada
10.00pagi 13 februari, Bulan berada pada jarak 406,504km kedudukan paling jauh
dari Bumi dalam tahun 2010. Jarak Bulan-Bumi tidak tetap, jarak tersebut
sentiasa berubah semasa Bulan mengorbit Bumi. Ada ketikanya ia berada dekat
dengan Bumi dan ada ketika jaraknya paling jauh dari Bumi.
Pada
14 Februari, adalah hari cerapan hilal bulan Rabiul Awal 1431 Hijri taqwim
Islam. Hilal ialah fasa bulan yang paling awal selepas Ijtimak (new moon) dan
bentuknya seperti sabit yang halus. Hilal berada pada altitud 1 darjah dari ufuk
pada petang ini. Pada altitud ini hilal sukar untuk dilihat kerana terlalu
rendah dengan ufuk. Pada keesokkan hari selepas Matahari terbenam, bulan berada
pada altitud 10 darjah dari ufuk. Jika keadaan ufuk barat cerah, ia boleh dilihat dengan mata kasar, pembaca
boleh mencuba. Jika asas taqwim Islam berdasarkan pergerakan Bulan, begitu juga
dengan taqwim Cina. Permulaan taqwim Cina bergantung kepada Ijtimak yang
berlaku dalam bulan Januari - Februari. Justeru itu tahun baru Cina 2010 jatuh
pada 14 Februari dan tahun 2010 adalah tahun harimau.
Pada
malam 21 Februari, Bulan menghampiri
fasa separuh, pada malam ini ia kelihatan hampir dengan gugusan bintang yang
dikenali dengan bintang tujuh beradik atau Pleaides. Gugusan bintang ini adalah
diantara gugusan bintang yang hampir dengan Bumi dan dikenali dalam banyak
tamaddun seperti Parsi, India dan Islam. Dalam tamaddun Islam ia dikenali
sebagai As-Surayya. Dengan mata kasar
gugusan bintang ini kelihatan berdekatan antara satu sama lain.
Pada
26 Februari, pada malam ini Bulan kelihatan hampir dengan planet Marikh, sudut
pisahan di antara keduanya sekitar lapan darjah. Kedua-dua objek ini boleh
dilihat di langit timur diawal malam, di tengah langit ketika tengah malam dan
terbenam di ufuk barat sekitar jam 5.00 pagi. Planet Marikh kelihatan seperti
bintang berwarna merah di sebelah kiri atas Bulan. Manakala di sebelah bawah
Bulan kelihatan bintang Asellus Australis dalam buruj Cancer. Keduanya
kelihatan sangat dekat, sudut pisahan antara keduanya sekitar 1.5 darjah.
Galaksi Bima
Sakti juga menghiasi langit bulan ini, ia kelihatan seperti jaluran awan putih
yang malap merentasi dari langit Tenggara hingga ke Barat-laut. Ia boleh
dilihat dengan mata kasar jika langit cerah dan tempat cerapan yang gelap yang
tiada gangguan cahaya.atau cahaya Bulan.
Fenomena
astronomi Februari 2010 diakhiri dengan kehadiran Bulan purnama dengan cahayanya yang terang
menyinari sepanjang malam.
Bagi mengenali
objek-objek langit bulan ini kita boleh menggunakan peta bintang seperti di
muka sebelah. Peta bintang ini menunjukkan bintang, planet, buruj dan galaksi
Bima Sakti. Saiz bintang menunjukkan kecerahan, bintang yang cerah ditunjukkan
dengan saiz titik yang besar. Bintang yang ditunjukkan adalah bintang-bintang
yang cerah dengan magnitud kurang dari
4.
Peta bintang ini
boleh digunakan untuk pada jam 10.00 malam pada awal Februari, 9.00 malam di
pertengahan Februari dan 8.00 malam di akhir Februari. Planet yang ditunjukkan
untuk pertengahan Februari.
Panduan cerapan langit malam menggunakan peta bintang;
Cerapan langit utara
i. Berdiri menghadap arah Utara. ii.
Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di
bahagian label A dan tangan kiri di label
B peta bintang. Pastikan tengah peta
bintang tepat di atas kepala dan Utara di peta bintang sama arah dengan Utara
sebenar.
Anda akan dapati bintang yang di tengah
peta bintang adalah bintang di atas kepala. Bintang yang dekat dengan garisan
ufuk peta bintang berada rendah dengan ufuk sebenar. Mulakan mengenali bintang
dengan bintang yang cerah dan mudah dikenali. Seterusnya anda boleh mengenali
planet, bintang dan buruj menggunakan peta bintang tersebut.
Cerapan langit selatan
i. Berdiri menghadap arah selatan.
ii. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di
bahagian label B dan tangan kiri
pegang di label A peta bintang. Pastikan
tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Selatan di peta bintang sama arah
dengan Selatan sebenar.
Cerapan langit malam perlu dilakukan
pada malam yang cerah, kurang berawan atau mendung. Hindari dari gangguan
cahaya lampu dengan menutup lampu luar atau halaman. Apabila kita berada dalam persekitaran
yang gelap kita akan dapat melihat langit dengan lebih baik. Tunggu beberapa
minit sehingga mata kita dapat menyesuaikan dalam keadaan gelap. Lebih lama
kita dalam keadaan gelap lebih banyak bintang yang akan dapat di lihat.
Peta bintang
untuk bulan Februari 2010
|